Sunday, October 4, 2009

Perarakan berjubah UMS dimasuk dalam kalendar

LABUAN 2 Okt. - Majlis perarakan berjubah graduan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) akan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Labuan bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Jusoh Salleh berkata, langkah tersebut dibuat memandangkan majlis berkenaan mampu mempelbagaikan tarikan pelancongan di pulau tersebut.

"Ia bukan sahaja sebagai satu wacana ke arah merapatkan persefahaman dan kolaborasi antara warga UMS-KAL dengan Perbadanan Labuan tetapi mampu dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan menarik di pulau ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian perarakan berjubah graduan UMS-KAL sempena ulang tahun ke-10 UMS-KAL di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon dan Pengarah UMS-KAL, Prof. Madya Dr. Shariff Abdul Kadir.

Perarakan yang julung kali diadakan itu disertai 200 peserta yang terdiri daripada graduan, Ahli Lembaga Pengarah UMS serta pensyarah UMS-KAL.

Perarakan sejauh 500 meter yang bermula pukul 8.30 pagi itu turut diiringi oleh 55 anggota pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Kinabalu.

Menurutnya, pihaknya akan terus memberi sokongan penuh kepada UMS-KAL dalam menganjurkan acara tersebut bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan meriah setiap tahun.

Sementara itu, Kamaruzaman berkata, upacara berkenaan adalah simbolik terhadap kejayaan UMS dalam melahirkan graduan yang bermutu.

"UMS termasuk kampus UMS-KAL merupakan universiti pertama di negara ini yang mengadakan majlis seperti ini. Jadi sudah tentulah kejayaan seumpama ini merupakan satu lakaran sejarah kepada warga Sabah dan juga Labuan," ujarnya.

CREDIT TO: UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment