Sunday, October 4, 2009

Perarakan berjubah UMS dimasuk dalam kalendar

LABUAN 2 Okt. - Majlis perarakan berjubah graduan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) akan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Labuan bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Jusoh Salleh berkata, langkah tersebut dibuat memandangkan majlis berkenaan mampu mempelbagaikan tarikan pelancongan di pulau tersebut.

"Ia bukan sahaja sebagai satu wacana ke arah merapatkan persefahaman dan kolaborasi antara warga UMS-KAL dengan Perbadanan Labuan tetapi mampu dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan menarik di pulau ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian perarakan berjubah graduan UMS-KAL sempena ulang tahun ke-10 UMS-KAL di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon dan Pengarah UMS-KAL, Prof. Madya Dr. Shariff Abdul Kadir.

Perarakan yang julung kali diadakan itu disertai 200 peserta yang terdiri daripada graduan, Ahli Lembaga Pengarah UMS serta pensyarah UMS-KAL.

Perarakan sejauh 500 meter yang bermula pukul 8.30 pagi itu turut diiringi oleh 55 anggota pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Kinabalu.

Menurutnya, pihaknya akan terus memberi sokongan penuh kepada UMS-KAL dalam menganjurkan acara tersebut bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan meriah setiap tahun.

Sementara itu, Kamaruzaman berkata, upacara berkenaan adalah simbolik terhadap kejayaan UMS dalam melahirkan graduan yang bermutu.

"UMS termasuk kampus UMS-KAL merupakan universiti pertama di negara ini yang mengadakan majlis seperti ini. Jadi sudah tentulah kejayaan seumpama ini merupakan satu lakaran sejarah kepada warga Sabah dan juga Labuan," ujarnya.

CREDIT TO: UTUSAN ONLINE

Saturday, October 3, 2009

400 hilang ditelan bumi ketika gempa di Padang

JAKARTA: Kira-kira 400 orang yang menghadiri satu majlis pernikahan dikhuatiri hilang ditelan bumi di Dusun Pulau Aik, Padang Pariaman ketika gempa bumi berkekuatan 7.6 pada skala Richter di Sumatera Barat pada 5.16 petang rabu lalu.

Kebimbangan itu berdasarkan keadaan kampung itu yang kini rata ditutupi tanah dan menara masjid, iaitu merupakan struktur tertinggi di situ, juga sudah tidak kelihatan.

"Mereka ditelan bumi sedalam 30 meter akibat gempa dan longsor (tanah runtuh)," kata Ketua Pusat Penanganan Krisis Kementerian Kesihatan Indonesia, Rustam S Pakaya, yang dipetik Detikcom hari ini.

Sambil menyebut bahawa pasukan mencari dan menyelamat tidak mungkin menggali sedalam 30 meter untuk mengeluarkan mangsa, beliau berkata dengan tenggelamnya kampung itu, proses mencari dan menyelamat sangat sukar untuk dijalankan walaupun pasukan pencari masih berusaha.

Tragedi di kampung itu adalah satu daripada beberapa kejadian serupa yang mula mendapat perhatian setelah sistem komunikasi dan jalan raya mulai dapat berfungsi semula.

Di Kota Padang sendiri, televisyen tempatan menyiarkan visual pelbagai usaha mencari dan menyelamat yang giat dijalankan pihak berkuasa termasuk tentera di beberapa buah hotel dan bangunan lain seperti pusat tuisyen, ketika bau mayat dikatakan sudah mulai menyengat.

Kira-kira 100 mangsa pula dipercayai terhimpit di celah runtuhan lantai, bumbung dan dinding Hotel Ambacang manakala 50 murid masih tertimbus akibat tanah runtuh yang menenggelamkan sekolah mereka di Desa Tandidek, Pariaman.

Kira-kira 200 orang lagi masih hilang, juga dipercayai tertimbus dalam runtuhan dua buah bukit di Petamuan, Padang Pariaman.

Setelah masuk hari keempat yang dianggap sangat genting bagi pasukan mencari dan menyelamat untuk menemui dan mengeluarkan mangsa yang masih hidup, para pegawai pihak berkuasa berkata keluarga mangsa terutama yang tertimbus harus ikhlas merelakan kepergian keluarga mereka. - Bernama

Saturday, September 12, 2009

Isu Malingsia! Jangan Hina Negara Kami!

Oleh : Siti Nurainee binti Tahir Ahmad

Agak menyintap perasaan saya sebagai rakyat Malaysia kerana segelintir rakyat
Indonesia telah mengadakan demonstrasi membaling telur busuk ke Kedutaan Malaysia, membakar bendera Malaysia serta mendesak kerajaan Indonesia memutuskan hubungan diplomatik. Apa sebenarnya sudah terjadi? Adakah mereka ingin berperang seperti negara Palestin dan Yahudi?

Saya 'salute' Malaysia kerana negara kita tetap bertenang dalam menghadapi situasi begini. Setahu saya, rakyat Malaysia tidak pernah memprotes Indonesia sehingga membaling telur atau membakar bendera di hadapan Kedutaan mereka. Mungkin segenlintir rakyat Indonesia marah dengan pelbagai isu yang membabitkan rakyat mereka di sini. Sebagai contoh, isu pembantu rumah didera, isu Manohara, isu tarian Jawa dalam promosi melawat Malaysia.

Di sini ingin saya memberi pendapat, berkenaan isu pembantu rumah didera. Isu ini telah pun dibawa ke muka keadlian. Pendera juga telah disabit kesalahan dan telah menerima hukuman. Isu Manohara, isu berkenaan masalah rumah tangga tapi telah diheboh-hebohkan seperti masalah besar telah berlaku. Hanya maslah rumah tangga antara suami isteri sepatutnya biarlah mereka berbincang dengan baik. Kalau tidak pun, bawalah ke muka keadlian. Tuntut segala ganti rugi habis-habisan dari si suami. Kenapa pula sampai hendak marahkan Malaysia? Isu tarian Jawa, bahan promosi pelancongan yang memuatkan tarian itu bukannya dibuat pihak berkuasa Malaysia mahupun agensi atau pun Kementerian Pelancongan sendiri.Discovery Channel juga sudah menulis surat memohon maaf dan menjelaskan situasi sebenar bahawa promosi pelancongan Malaysia yang dihasilkan mereka yang memuatkan tarian itu bukan dilakukan kerajaan Malaysia. Oleh itu, bukan Malaysia sengaja menggunakan tarian Jawa sebagai bahan promosi Malaysia.

Wahai segelintir rakyat Indonesia yang membenci Malaysia, tdak pernah terniat pun kami ingin mempunyai perasaan musuh atau dendam kepada kamu. Sebagai hamba Allah, kita berdiri di atas bumi untuk sama-sama mencari makan , dan menikmati hidup ini dengan aman. Jangan disebabkan beberapa perkara, Malaysia dihina.

Malaysia juga dituduh sebagai tidak kratif dan tiada seni disebabkan lagu-lagu Indonesia lebih popular di sini. Filem Cicakman pun mereka tuduh sebagai plagiat dari filem Spiderman. Di sini juga beberapa gambar 'cover' filem mereka yang ditiru dari cover filem antarabangsa.





Saturday, September 5, 2009

Ditindih atau paralisis?


Ramai yang kata ternampak ‘benda’ tertentu yang menindih tubuh mereka hingga tidak boleh bergerak. Adakah itu sekadar cerita rekaan kerana tidak tahu hendak menghuraikan fenomena lumpuh sementara?

APABILA mula sedar dari tidur, Sistem Pengaktifan Retikular (RAS) 'dihidupkan' kembali, namun adakalanya otak mengambil sedikit masa untuk mencetus isyarat elektrikal kepada keseluruhan fungsi tubuh. Itulah yang membuatkan seseorang mendapati dirinya tidak boleh bercakap atau menggerakkan anggota badan.

RAKAN lama saya ini, Azam, sudah lama mengajak untuk bertemu. Katanya ada hal penting. Dia hendak mengadu tentang sesuatu yang mengganggu dirinya di rumah yang baru dua minggu disewanya di Gombak.

Katanya, rumah dua bilik yang disewa itu ‘keras’ dan dia sering diganggu ketika tidur. ‘Lembaga yang rupanya tidak jelas itu’ (seperti yang digambarkannya) akan menekan tubuhnya kuat di atas katil dan dia tidak boleh bergerak langsung. Hendak menjerit pun adakalanya tidak keluar suara.

“Banyak kali jadi macam tu. Aku tau ada ‘benda’ yang tinggal dalam rumah tu. Tapi sekarang aku dah tak takut. Cuma susah la. Aku asyik mengantuk di pejabat sebab tak cukup tidur,” ujar Azam, masih cuba berlagak berani.

‘Ah! Dari zaman asrama sampai dah umur 30, lagi-lagi cerita yang sama.’ Bisik hati saya.

Saya pun pernah mengalami kejadian yang sama, tapi tidaklah taksub sangat dengan menokok tambah cerita itu dengan kisah ‘tangan halimunan’ yang merayap di seluruh badan (seperti yang bersungguh-sungguh didakwanya).

“Betul! Aku rasa ada roh yang tak tenteram terperangkap dalam rumah tu,” sambung Azam. Malas hendak berhujah, anak mata hitam saya terus mencari langit.

Hinggalah saya mendengar penjelasan seorang rakan, Dr. Harris, yang mengulas tentang perkara tersebut dari sudut saintifik perubatan melalui penulisan dalam blog peribadinya. Nah Azam, cuba baca ini!

Sebenarnya apa yang berlaku itu merupakan fenomena paralisis tidur. Ia merujuk kepada suatu tempoh singkat yang membuatkan seseorang tidak dapat membuat pergerakan mana-mana bahagian badan ketika baru memasuki fasa hendak tidur (hipnogogik atau predormital), atau ketika hendak sedar daripada tidur (hipnopompik atau posdormital).

Apakah simptom-simptomnya? Lazimnya seseorang akan mengadu hilang upaya gerak anggota tangan atau kaki ketika baru mula tidur atau hendak sedar. Berlaku juga episod singkat paralisis otot skeletal, sama ada sebahagian atau sepenuhnya. Ia biasanya dikaitkan dengan halusinasi hipnogogik atau aktiviti otak yang mencetus situasi seperti mimpi.

Paralisis tidur selalunya dikaitkan dengan narkolepsi, iaitu gangguan neurologikal yang membuatkan seseorang mengalami rasa mengantuk yang ekstrem lalu boleh tertidur secara tiba-tiba. Namun begitu, ada orang yang mengalami paralisis ini tanpa menunjukkan petanda narkolepsi.

Antara penyebab paralisis tidur ini adalah seperti tidur dalam posisi terlentang terlalu lama, jadual tidur yang tidak menentu, tidak cukup tidur dan istirehat, stres dan juga pertukaran gaya hidup secara mendadak (misalnya peralihan daripada mod rehat kepada aktiviti ekstrem secara mengejut).

Dalam kes halusinasi hipnogogik tertentu, seseorang akan merasa seperti ada orang lain di dalam bilik tidur mereka. Ada juga yang trauma apabila menyangka ada ‘sesuatu’ yang duduk di atas dada hingga menyukarkan pernafasan.

Sejak berkurun, ia terjadi pada manusia dan dipanggil Fenomena Hag. Walaupun kesannya menimbulkan keresahan dan ketakutan, tiada risiko atau ancaman fizikal boleh berlaku.

Dalam dunia ini memang ada makhluk lain di dimensi yang tidak dapat ditembusi mata kasar kita. Tetapi janganlah kita jadikan ia satu-satunya alasan bagi setiap kejadian yang tidak dapat dihuraikan.

Credit to :HAMZAH ABDUL HAMID, Kosmo.

Friday, August 28, 2009

ViDeo Tak Nak Merokok

Oleh : Siti Nurainee binti Tahir Ahmad

Di sini saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang iklan oleh Kementerian Kesihatan MAlaysia. Amat bererti iklan ni... Saya sememangnya amat tidak suka dengan orang yang merokok.


Wednesday, August 26, 2009

Sixtus Pitah A. Presiden Kelab Komunikasi Sesi 2009/2010

oleh Jarinah Binti Ambasing & Siti Nabilah Kamarzaman

Pada 26 ogos 2009,pembubaran kelab komunikasi telah diadakan di Bilik mesyuarat Sekolah Sains Sosial.Beberapa orang pensyarah komunikasi turut menghadiri pembubaran tersebut,antaranya En.Shahrudin,En.Mokhtaruddin dan En.Saat.Manakala,kehadiran pelajar agak mengecewakan kerana hanya separuh daripada pelajar komunikasi tahun 1,2 & 3 yang menghadirkan diri.

Namun,perlantikan Majlis Tertinggi tetap berjalan dengan lancar.Setelah bersaing hebat dengan saudara Albert Thien,undian telah memihak kepada saudara Sixtus dengan kelebihan 1 undi.Saudara Albert pula menyandang jawatan Timbalan Presiden Kelab Komunikasi.

Selepas perlantikan jawatan Majlis Tertinggi selesai,beberapa aktiviti/program telah dirangka untuk membolehkan Kelab komunikasi kembali aktif.Seperti yang dikatakan Oleh En.Shahrudin,Sejak 4 tahun kebelakangan ini,Kelab Komunikasi agak suram kerana kurangnya program yang dapat mengembalikan keunggulan Kelab Komunikasi.
harapan kami agar Exco Majlis Tertinggi akan dapat menjalankan tugas dengan jayanya agar Kelab komunikasi kembali aktif.

Monday, August 24, 2009

Puasa Ramadan bantu tingkat ketahanan badan

oleh jarinah binti ambasing

Kajian menunjukkan amalan menahan makan dan bertadarus memberikan ketenangan

PUASA Ramadan yang difardukan kepada umat Islam bukan saja ujian kepada keimanan menahan nafsu makan minum, ibadat itu juga memberi kebaikan kepada tubuh badan terutama untuk menghapuskan toksin yang tersimpan selama ini.

Pengamal Perubatan dan Penceramah Motivasi, Dr Danial Zainal Abidin, berkata selepas sekian lama badan menerima makanan dan minuman yang memudaratkan, puasa Ramadan memberi peluang kepada manusia mengembalikan ketahanan tubuh badan.

Katanya, makanan serta minuman yang diambil sepanjang 11 bulan sebelum kedatangan Ramadan mungkin halal dari segi sumber dan bahan asasnya tetapi tidak semestinya makanan itu baik kepada kesihatan.

Oleh itu, sebulan Ramadan yang ditetapkan Allah untuk umat Islam menunaikan rukun Islam ketiga membawa bersama hikmah kefarduannya menurut pandangan sains berdasarkan kajian dilakukan pelbagai pihak mengenai kaitan puasa dari aspek kesihatan.

"Memang asasnya niat puasa itu penting supaya kita tidak terbabas. Jangan kata niat kita puasa untuk kuruskan badan atau kurangkan kolesterol kerana tujuan utama puasa adalah mencapai status takwa dengan mentaati, sentiasa mengingati serta mensyukuri nikmat Allah.

"Namun di sebalik kewajipan itu tidak dinafikan banyak kebaikan diperoleh berdasarkan kajian dibuat mengenai kesan ibadat puasa terhadap sistem badan. Ini kerana makanan halal yang kita makan tidak semestinya toyyibah atau berkhasiat kepada tubuh badan," katanya.

Dipetik dari Berita Harian Online
24 ogos 2009